Saya

Foto saya
SEMOGA SEDIKIT SEBANYAK DAPAT KITA JADIKAN ILMU WALAUPUN HANYA SEDIKIT.. KATA SEORANG ULAMAK "SEMAKIN KITA MENDALAMI ILMU SEMAKIN KITA TAHU YANG KITA SEBELUM INI ADALAH BODOH..

Jumaat, 15 April 2011

RAHSIA PERPADUAN..

Bersatu dan berpadu bukan satu perkara yang mudah. Hendak menyatupadukan satu bangsa di dalam sebuah negara amatlah payah. Untuk berpadu setakat satu keluarga atau di dalam sebuah rumah tangga pun sudah terasa sulitnya. Betapalah hendak mempersatukan rakyat di dalam sebuah negara dan lebih-lebih lagilah alam sejagat.

Mempersatukan manusia, jangan dianggap mudah. Jangan fikir ia boleh berlaku kerana kita dari satu rumpun keturunan, satu etnik atau sedarah sedaging. Ia juga tidak mudah berlaku hanya kerana satu tempat lahir, satu ideologi atau kerana berada di dalam sebuah parti atau jemaah.

Sebelum saya memaparkan rahsia perpaduan dan bersatu itu, saya ingin nyatakan lebih dahulu peringkat-peringkat perpaduan dan bersatu. Agar dapat kita faham bagaimanakah sebenarnya yang dikatakan bersatu dan berpadu itu.

Perpaduan dan persatuan itu boleh dibahagi kepada tiga kategori seperti yang kita senaraikan di bawah ini:

Pertama:

Perpaduan dan persatuan setakat fizikal atau jasad. Dengan kata-kata lain, perpaduan dan persatuan secara luaran semata-mata. Ertinya ia tidak diikat oleh akal, fikiran dan jiwa. Hanya setakat diikat oleh keperluan semasa atau desakandesakan hidup yang tidak dapat atau payah hendak dielakkan. Demi hendak menjaga nama baik, atau agar jangan dipulaukan orang, atau bimbangkan apa kata masyarakat setempat, juga agar jangan sampai dimusuhi oleh orang ramai, maka dilakukanlah pertemuan fizikal.

Contohnya dengan hadir sama di dalam kerja gotong-royong, di majlis membuat ikrar, ikut sama mengadakan majlis kenduri-kendara, hadir di majlis kematian dan hadir di mesyuarat kampung atau sekolah tempat anakanak belajar. Dia juga akan hadir di pertemuan memperbincangkan masalah jenayah yang sangat menyusahkan dan menggugat keselamatan umum.

Oleh kerana itu ketakutan bersama maka dia hadirlah sama di dalam pertemuan dan perbincangan itu. Pertemuan-pertemuan seumpama yang kita sebutkan di atas adalah perpaduan fizikal namanya. Ia diikat oleh faktor-faktorluaran atau oleh desakan-desakan atau keperluan semasa semata. Ia tidak diikat oleh persoalan dalaman seperti diikat oleh satu fikiran atau ikatan jiwa. Perpaduan dan persatuan seumpama ini adalah ikatan yang longgar. Ia tidak kuat dan teguh. Ikatan-ikatan seumpama ini tidak dapat menghindarkan daripada sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, jahat sangka, khianat, mengadu domba, sombong, riyak, cari nama, glamour, pemarah, tamak dan lain-lain lagi.

Ertinya manusia sentiasa terdedah kepada keretakan dan perpecahan. Sifat-sifat mazmumah tadi itulah pemecah belah perpaduan dan persatuan. Perpaduan dan persatuan fizikal atau jasad semata-mata, tidak boleh diharapkan. Perpaduan dan persatuan seperti ini adalah reput dan rapuh. Perpaduan seperti ini adalah ibarat perpaduan buih di laut. Buih di laut itu, walau menggunung sekalipun, namun tidak kuat dan padu. Bila-bila masa sahaja boleh pecah. Datang angin sahaja, boleh pecah. Datang ombak, ia boleh pecah. Datang sampah sarap melanda pun, ia boleh pecah. Belum lagi dilanda oleh kapal-kapal besar dan ribut taufan yang kuat. Lebih-lebih lagilah akan berkecai, terbarai dan terburai.

Menurut Islam, perpaduan fizikal yang tiada ikatan teguh dari dalaman diri manusia itu, belum boleh dikatakan perpaduan atau bersatu. Ia berlaku disebabkan desakan dan keadaankeadaan yang memaksa. Ia bukan diikat oleh satu fikiran dan jiwa.

Kedua:

Perpaduan dan kesatuan fikiran ialah perpaduan yang diikat oleh satu pendapat dan satu pandangan. Biasanya ia berlaku di dalam satu masyarakat setempat, sepuak, sejemaah atau satu bangsa dalam sebuah negara, di atas sesuatu perkara, projek atau sesuatu isu sahaja. Walaupun perkara itu diterima bersama oleh semua orang atau oleh majoriti, perpaduan begini tidak berlaku terhadap semua hal dalam masyarakat itu. Pandangan dan pendapat yang sama itu diikat oleh faktor-faktor dalaman iaitu akal fikiran, namun perkara yang disepakati itu adalah halhal luaran yang bersifat keduniaan. Kesatuan fikiran itu berlaku mungkin untuk keperluan-keperluan semasa. Apabila perkara itu tidak diperlukan lagi, maka di waktu itu ikatan perpaduan itu sudah terungkai dengan sendirinya.

Lebih-lebih lagi apabila perpaduan itu dari ikatan akal fikiran atau ideologi semata-mata. Ia tidak akan membuang sifat-sifat mazmumah manusia seperti hasad, khianat, tamak, pemarah, bakhil, dendam, jahat sangka, mengumpat, memfitnah, mengata, menghina dan lain-lain lagi. Sedangkan sifat-sifat mazmumah tadilah yang menjadi pemecah belah manusia walaupun di dalam sesetengah perkara, mereka sudah satu pandangan, satu pendapat atau satu ideologi.

Oleh yang demikian, perpaduan akal fikiran atau ikatan ideologi juga tidak kukuh dan teguh. Ia juga boleh dikatakan perpaduan buih di lautan. Nampak menggunung tetapi rapuh. Nampak hebat tetapi tidak kuat. Sampah sarap sahaja pun sudah boleh memecahkannya. Betapalah apabila dilanda gelombang besar atau kapal besar.

Justeru itu Islam belum boleh menerima perpaduan dan persatuan akal fikiran atau ideologi sebagai satu perpaduan dan kesatuan umat Islam.

Ketiga:

Perpaduan dan kesatuan yang diikat oleh satu keyakinan yang benar, yang mutlak dan bersifat kekal abadi. Yang tidak berkesudahan hingga mati. Perpaduan yang kekal abadi itu diikat oleh iman yang dihayati jiwa atau hati. Bukan setakat iman secara akal fikiran. Beriman kepada Allah Taala dan yang lainlain lagi yang wajib diimani, secara penghayatan. Tidak perlu saya sebut di sini. Bagi orang Islam, sudah tentu sudah faham secara ilmunya. Kemudian diikat juga oleh syariat iaitu peraturan- peraturan dan disiplin-disiplin kehidupan yang telah disampaikan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya, yang ada di dalam Al Quran dan di dalam Sunnahnya. Seperti disebut di dalam firman Allah Taala:

Maksudnya: Hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan tali Allah (syariat-Nya/agama Islam/Al Quran dan Sunnah) dan janganlah kamu semua berpecah belah (iaitu berpecah belah dari beriman dan syariat-Nya).(Ali Imran: 103)

Di dalam ayat ini, ada beberapa perkara yang dapat kita faham. Di antaranya:

  1. Beriman dengan Allah Taala (diikat oleh iman/akidah).
  2. Beriman juga dengan syariat-Nya (diikat oleh syariat Allah Taala di dalam semua hal di dalam kehidupan seperti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, berpendidikan, berpolitik, berekonomi, berpentadbiran, berjuang, bernegara, syariat Allah Taala adalah menjadi pengatur dan pendisiplinnya).
  3. Jangan berpecah belah dengan iman dan syariat-Nya. Dengan erti yang lain, jangan dengan sesetengah hukumhukum yang Allah Taala turunkan atau datangkan kita beriman dan dengan sesetengahnya lagi kita ragu. Begitu juga dengan sesetengah syariat-Nya kita amalkan seperti ibadah, zakat, puasa, haji tetapi di dalam berkeluarga, bermasyarakat, berekonomi, berpendidikan, berpolitik, di dalam pentadbiran negara dan lain-lain lagi, kita bersyariatkan akal, bersyariatkan ideologi atau pragmatisme. Ia masih bersifat ikatan akal fikiran ciptaan manusia. Bukan bersyariatkan daripada Al Quran dan Sunnah dari Allah Taala yang Maha Bijaksana lagi Mengetahui.

Di sini barulah kita faham bahawa umat Islam kalau ingin bersatu dan berpadu yang utuh dan teguh, hendaklah diikat satu sama lain oleh iman atau akidah dan diikat oleh syariat Allah Taala atau peraturan-Nya secara global atau keseluruhannya. Kalau berlaku sebaliknya, terjadilah pecah-belah.

Apabila umat Islam diikat semuanya oleh satu akidah atau iman dan juga diikat oleh undang-undang dan perlembagaan Allah Taala di dalam seluruh kehidupan maka umat Islam telahbersatu dan berpadu. Inilah dia perpaduan yang kuat dan teguh untuk umat Islam. Perpaduan dan persatuan beginilah yang kita mesti usahakan dan perjuangkan. Kalau kita perjuangkan selain daripada itu ertinya kita perjuangkan perpaduan yang umpama buih di laut.

PERPADUAN TANPA IKATAN IMAN DAN SYARIAT

Kalau umat Islam di seluruh dunia ini tidak diikat oleh satu akidah dan satu syariat, tidak mungkin berlaku perpaduan dan kesatuan. Ajaran Islam yang menetapkan begitu. Janganlah bertegang leher mengatakan umat Islam boleh bersatu tanpa kesatuan iman/akidah atau syariat.

Umat Islam tidak akan boleh bersatu atas dasar ekonomi atau ideologi. Justeru ekonomi dan ideologi tidak boleh membendung perpecahan. Ia tidak boleh membendung sifat-sifat mazmumah yang memecah-belahkan manusia kerana di dalam ajaran ideologi atau ajaran mengikut teori akal fikiran, tidak ada ajaran untuk takut atau cintakan Allah. Kalau manusia sudah tidak takut dengan Tuhan dan Neraka-Nya, apalagi yang boleh membendung manusia daripada melakukan kejahatan lahir dan batin? Kejahatan itulah yang memeca belahkan kehidupan manusia, merenggangkan persaudaraan, menghancurkan perpaduan dan persatuan umat.

Oleh yang demikian jelaslah ajaran ideologi atau teori akal fikiran tidak akan boleh mempersatukan umat Islam kerana ikatannya tidak ada. Kalaupun dikatakan ada, ia sangat reput dan rapuh. Justeru itu kalau di dalam sebuah parti, atau jemaah, atau sebuah negara sekalipun, kalau ikatan itu dari ajaran ideologi atau ajaran teori akal fikiran, maka umat Islam tidak akan boleh bersatu. Bahkan dalam sebuah parti Islam sekalipun, kalau iman itu tidak benar-benar dihayati dan syariat Islam berjalan secara longgar di kalangan ahli-ahlinya, ia juga tidak akan melahirkan perpaduan dan kesatuan umat Islam yang kuat dan utuh di dalam parti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan