Saya

Foto saya
SEMOGA SEDIKIT SEBANYAK DAPAT KITA JADIKAN ILMU WALAUPUN HANYA SEDIKIT.. KATA SEORANG ULAMAK "SEMAKIN KITA MENDALAMI ILMU SEMAKIN KITA TAHU YANG KITA SEBELUM INI ADALAH BODOH..

Jumaat, 15 April 2011

AKIDAH DAN SYARIAT MENGUATKAN IKATAN PERSAUDARAAN..

Apabila akidah atau iman dan syariat begitu kuat dan teguhmengikat di kalangan anggota parti, jemaah atau satu masyarakat, di waktu itu akan terjadilah di kalangan umat Islam di dalam jemaah atau masyarakat itu sepertimana yang digambarkan oleh Hadis.

Maksudnya: Perumpamaan orang mukmin itu di dalam kasih sayang, cinta-mencintai dan berlemah-lembutnya di kalangan mereka itu adalah seperti jasad yang satu, apabila satu anggota sakit, seluruh anggota akan merasa sakit.

Ini memberi erti atau menggambarkan bahawa jika anggota-anggota sebuah jemaah Islam itu benar-benar beriman dan bersyariat, lahirlah satu perasaan hati di antara satu sama lain bahawa kegembiraan dan kesusahan boleh dikongsi bersama. Kesenangan yang berlaku pada seorang anggota parti, jemaah atau masyarakat, orang lain ikut sama rasa senang dan gembira.

Begitu juga apabila ada kesusahan menimpa seseorang pula, orang lain ikut serta merasa susah dan bersedih hati. Apabila perkongsian hati dan perasaan itu wujud di kalangan umat Islam, di waktu itu akan wujud satu masyarakat yang amat indah.

Iaitu orang yang kaya akan membantu orang miskin dan susah tanpa diminta. Orang yang miskin dan susah pula tidak suka meminta-minta kecuali terpaksa sangat dan mereka tetap sabar. Orang tuanya dan pemimpin akan dihormati dan dimuliakan. Kanak-kanak dan orang bawahan akan dikasihi dan diberi simpati.

Orang-orang muda berakhlak tinggi dan memberi khidmat dengan tenaga kepada masyarakat tanpa diprogramkan atau diarah-arah. Ahli-ahli ilmu suka memberi khidmat dengan ilmunya tanpa minta dibayar tetapi tidak salah pula kalau mereka mengambil jika diberi. Ulamanya adalah laksana obor menerangi masyarakatnya dengan ilmu dan nasihat serta suri teladannya. Gadis-gadis dan perempuan bersifat malu, menjaga kehormatannya dan tidak ada orang yang akan menodainya.

Pemimpin, para ulama, pembesar-pembesar serta orang-orang kaya merendah diri, menjadi payung kepada masyarakat atau kepada jemaahnya. Setiap anggota masyarakat atau jemaah memikirkan dan mengutamakan orang lain lebih daripada dirinya sendiri.Kalau wujudlah masyarakat, jemaah atau parti umat Islam seperti yang telah digambarkan tadi, sudah tentu hasad dengki padam dengan sendiri. Penzaliman lenyap, marah-memarahi hilang, tamak, bakhil terhapus sama sekali. Riyak dan sombong hilang dengan sendiri. Dendam-mendendam, kata-mengata, umpat-mengumpat, hina-menghina dan jatuh-menjatuhkan tidak berlaku.

Itulah dia kesan daripada berlakunya kesatuan hati setelah diikat oleh iman yang kuat dan syariat yang dihayati. Masyarakat sedemikianlah yang setiap umat Islam wajib memperjuangkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan