Saya

Foto saya
SEMOGA SEDIKIT SEBANYAK DAPAT KITA JADIKAN ILMU WALAUPUN HANYA SEDIKIT.. KATA SEORANG ULAMAK "SEMAKIN KITA MENDALAMI ILMU SEMAKIN KITA TAHU YANG KITA SEBELUM INI ADALAH BODOH..

Ahad, 5 Jun 2011

Binalah Keikhlasan dalam Setiap Amalmu..

Assalamualaikum warahmatullah,



Alhamdulillah. Setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan kasih sayang Allah SWT, kita masih lagi diberi peluang untuk meneruskan kehidupan kita sebagai hambaNya. Justeru, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan beriltizam dalam mentaati setiap suruhan-Nya dan meninggalkan setiap larangan-Nya.


Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,


Ikhlas merupakan salah satu daripada amalan hati. Maksud ikhlas ialah melakukan sesuatu semata-mata mencari keredhaan Allah SWT, tanpa dicampuri dengan tujuan lain seperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan, meminta pujian atau lari dari kejian, mengikut hawa nafsu tersembunyi atau tujuan-tujuan lain yang bukan kerana Allah SWT.


Sesungguhnya, Allah tidak menerima satu amal atau perbuatan tanpa disertai keikhlasan.


Firman Allah SWT;


“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhan-Nya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”






[Surah Al-Kahfi: 110]






Rasulullah SAW juga ada berpesan sebagaimana telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa’i menjelaskan:






“Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepada-Nya, dan ditujukan hanya untuk-Nya.”






Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,






Tuntasnya, keikhlasan merupakan elemen yang sangat penting dalam setiap amal. Hal ini kerana, keikhlasan merupakan garis pemisah sama ada amalan atau kerja-kerja itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT. Kerja yang baik mempunyai dua rukun iaitu; pertama, Ikhlas dan betul niat, serta kedua, bertepatan dengan sunnah dan syarak.






Allah SWT berfirman tentang amal yang dimaksudkan selain daripada Allah akan menjadi sia-sia. Firman Allah SWT;






“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu sebagai debu berterbangan”






[Surah Al-Furqan: 23]






Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,






Terdapat beberapa unsur yang sangat penting dalam melahirkan keikhlasan, antaranya ialah:






[1] Menumpukan perhatian hanya kepada ‘pandangan’ Al-Khaliq, bukan pandangan makhluk. Al-Fudhail bin Iyadh berkata;






“Amal yang dikerjakan kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, sedangkan ikhlas adalah jika engkau bebas daripada keduanya.”






[2] Tidak menghitung-hitung pahala amalnya. Orang mukhlis (yang ikhlas) tidak merasa aman terhadap amalnya kerana dia bimbang amalnya tidak diterima Allah SWT.






[3] Orang mukhlis melihat amal yang dilakukannya itu adalah dengan taufiq daripada Allah SWT. Oleh itu, tidak layak baginya menuntut ganjaran daripada amalnya. Malah, dia melihat pahala merupakan kebaikan daripada Allah SWT atas dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;






“Sekali-kali amal salah seorang daripada kamu tidak akan mempu memasukkannya ke dalam syurga.” Mereka bertanya, “Begitu juga amalan kamu wahai Rasulullah?” jawab baginda,”Ya, begitu juga aku, kecuali Allah melimpahkan Rahmat-Nya kepadaku.”






[Muttafaq Alaihi]






Wahai sahabat dan akhowat yang dikasihi kerana Allah,






Mengapa Allah menyuruh kita ikhlas? Ikhlas dapat melahirkan berbagai natijah kepada individu. Secara umumnya, dapat dijelaskan seperti berikut:






[1] Ketenangan jiwa.






Ikhlas memberi ketenangan jiwa dan kedamaian hati kepada pelakunya, sehingga lapang dada dan terang hatinya. Hatinya hanya fokus kepada satu tujuan, iaitu keredhaan Allah SWT.






[2] Kekuatan rohani.






Ikhlas memberi kekuatan rohani kepada orang mukhlis kerana keunggulan tujuan ikhlas di dalam dirinya dan kehendaknya yang menyatu iaitu keredhaan Allah SWT. Sebaliknya, orang yang gila harta, kedudukan, kehormatan atau gelaran adalah amat lemah, kerana takut kehilangan keuntungan yang diharapkannya. Sedangkan orang yang menjual dunia kerana Allah, dia akan memperoleh kekuatan.






[3] Kerja berkesinambungan.






Ikhlas melahirkan individu yang bekerja secara berterusan. Orang yang bekerja kerana Allah tidak akan memutuskan kerjanya, tidak berundur dan tidak merasa malas. Hal ini kerana asas kerja mereka tidak akan luput. Firman Allah SWT;






“Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nyalah segala penentuan, dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”






[Surah Al-Qasyasy: 88]






Sebagai kesimpulan, Allah tidak menerima amal yang tiada keikhlasan. Allah redha amalan yang baik jika disertai keikhlasan, terlepas daripada syirik, samada kecil atau besar, samada kelihatan atau tersembunyi. Keikhlasan tidak akan sempurna kecuali dengan niat yang tulus, semata-mata kerana Allah, yang terlepas daripada kecenderungan individu atau duniawi. Wallahu’alam.






Amnani Binti Shamjuddin.






Presiden SiswiHALUAN,






HALUANSiswa Nasional.






28 Februari 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan