Saya

Foto saya
SEMOGA SEDIKIT SEBANYAK DAPAT KITA JADIKAN ILMU WALAUPUN HANYA SEDIKIT.. KATA SEORANG ULAMAK "SEMAKIN KITA MENDALAMI ILMU SEMAKIN KITA TAHU YANG KITA SEBELUM INI ADALAH BODOH..

Jumaat, 4 Mac 2011

Mimpi dan Interpretasinya..?

Orang yang tidur akan bermimpi. Ada yang selalu bermimpi, dan ada pula yang kadang-kadang. Bagi sesetengah orang, mimpi membawa maksud tertentu. Lalu mereka bertanya kepada orang lain untuk mengetahui maksud mimpinya. Seperti itu dilakukan oleh seorang pelayar melalui sepucuk e-mail. E-Mailnya menunjukkan dia berasal dari sebuah negara jiran. Kandungan e-mailnya ringkas, ditulis seperti di bawah ini:

1) Erti mimpi kan rasullah
2) mimpi bertemu diri sendiri

tolong jelaskan....amin

Amin bukan namanya. Perkataan itu dipercayai serupa dengan apa yang disebut selepas bacaan Fatihahnya. Atau, yang disebut tatkala menyambut sebutan sesuatu doa yang dilafazkan oleh orang lain.

Malangnya, al-Qur'an bukanlah sebuah kitab yang mengajar ilmu mentafsirkan mimpi. Maka mimpi-mimpi tersebut tidak dapat dijelaskan maksudnya. Ia juga bukan sebuah kitab yang lahir daripada mimpi seseorang, seperti yang disangka oleh sesetengah orang yang tidak percaya kepadanya. Firman Allah,

"Tidak, tetapi mereka berkata, 'Mimpi-mimpi yang bercampur baur! Tidak, dia mengada-adakannya; tidak, dia seorang penyair! Maka hendaklah dia mendatangkan kepada kita satu ayat (mukjizat) sebagaimana orang-orang dahulu kala diutus.'"

Kerugian

Kembali kepada e-mail dan pengirimnya yang baru disebut. Boleh jadi dia yang bertanya itu menganggap seseorang yang pandai mentafsirkan mimpi berada di jalan lurus. Anggapan serupa itu tidak mungkin betul kerana daripada cerita orang-orang yang berbangsa dan beragama lain terdapat orang-orang tertentu daripada golongan mereka yang pandai mentafsirkan mimpi. Jadi, orang yang pandai mentafsirkan mimpi tidak semestinya berada di jalan lurus.

Sebagai contoh, terdapat orang-orang yang dikatakan mahir dalam mentafsirkan mimpi sehingga mampu mendatangkan "nombor ekor" yang akan memenangi dalam perjudian itu. Namun ramalannya didapati tidak begitu tepat kerana ramai daripada orang yang menurutinya gagal untuk memenangi yang dihajatkan. Lantas, amalan mentafsirkan mimpi dan mempercayainya boleh mengheret kepada kerugian dan kesesatan yang jauh.

Mimpikan Rasul

Di kalangan umat Islam peranan mimpi adalah tidak kurang pentingnya untuk mengiktiraf seseorang sebagai alim, warak atau diterima sebagai guru atau ketua. Guru-guru yang alim dan warak dikatakan telah bertemu dengan rasul Allah dalam mimpi. Ada juga antara mereka yang dikatakan mendapat arahan tertentu daripada rasul Allah dalam mimpi mereka.

Mimpikan rasul Allah adalah sesuatu yang besar bagi sesetengah orang Islam. Akan tetapi, setelah dilihat pada ajaran sesetengah alim itu didapati bahawa ajaran mereka tidak menuju ke jalan lurus.

Lantaran itu, mimpikan rasul Allah tidak bererti sudah berada di jalan lurus atau akan berada di jalan lurus.

Mimpi yang kedua yang disebut tadi ialah "mimpi bertemu diri sendiri". Inilah kali pertama penulis bertemu dengan orang yang mencari interpretasi bagi mimpi tersebut. Pada hari ini, mimpi tersebut bolehlah diertikan kepada dia (orang yang bermimpi) akan bertemu dengan klonnya suatu hari nanti. Ketika itu, dia tidak dapat membezakan siapa yang sudah diklonkan - sama ada dia, atau diri sendiri yang ditemuinya. Maaf sekiranya mimpi itu tidak betul ditafsirkan!

Benar, al-Qur'an ada mengisahkan tentang mimpi dan interpretasinya. Di sini diturunkan tiga, dan kesemuanya terkandung di dalam sebuah surah sahaja, iaitu surah Yusuf.

Nabi Yusuf

Mimpi yang pertama ialah mimpi Nabi Yusuf. Setelah dia menceritakan mimpinya kepada bapanya, bapanya berkata,

"Wahai anakku, janganlah menceritakan mimpi kamu kepada saudara-saudara kamu supaya mereka tidak membuat muslihat terhadap kamu dengan tipu muslihat. Sesungguhnya syaitan, kepada manusia, adalah musuh yang nyata."

Satu pelajaran diperolehi daripada ayat tersebut iaitu mimpi tidak diceritakan kepada orang lain. Sebabnya ialah syaitan yang akan menurutinya dengan tipu muslihat.

Apakah yang dimimpikan Nabi Yusuf? Ayat yang di bawah menjelaskannya:

"Apabila Yusuf berkata kepada bapanya, 'Ayah, saya melihat sebelas bintang, dan matahari, dan bulan; saya melihat mereka sujud kepada saya.'"

Dia bermimpi akan penghormatan yang diberi kepadanya pada masa depan. Itulah yang disuruh oleh bapanya agar dirahsiakan. Bagaimana pula dengan cerita mimpi orang-orang alim yang bertemu rasul Allah yang sudah diketahui umum kian lama? Tentu ada sesuatu yang tidak kena di sini.

Mimpi diertikan juga daripada perkataan hadis, seperti yang digunakan dalam ayat berikut. Daripadanya juga, difahamkan iaitu interpretasi mimpi diajar oleh Allah. Di sini ia diajar kepada Nabi Yusuf. Firman-Nya,

"Begitulah Pemelihara kamu memilih kamu (Yusuf), dan Dia mengajarkan kamu interpretasi hadis (mimpi), dan Dia akan menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu"

Interpretasi bagi mimpi Nabi Yusuf itu adalah seperti yang dicatat di bawah:

"Dan dia (Yusuf) menaikkan ibu dan bapanya ke atas arasy (singgahsana); dan yang lain, jatuh bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah, inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu; Pemelihara saya telah membuatnya benar.'"

Dua pemuda

Mimpi yang kedua, di dalam surah Yusuf, ialah apa yang dimimpikan oleh dua orang pemuda, yang bersalah, yang masuk ke penjara bersama Nabi Yusuf. Ayat yang menjelaskannya berbunyi,

"Dan masuk ke penjara bersama dia, dua orang pemuda. Berkata seorang daripada mereka, 'Aku melihat (bermimpi) bahawa aku memerah arak (anggur).' Berkata yang lain, 'Aku melihat bahawa aku membawa di atas kepalaku roti, yang burung-burung memakan sebahagiannya. Beritahulah kami interpretasinya; kami melihat bahawa kamu adalah antara orang-orang yang berbuat baik.'"

Daripada ayat itu difahamkan bahawa nasib seseorang boleh diberitahu dalam mimpi. Nasib kedua-dua pemuda tersebut dijelaskan di dalam ayat berbunyi,

"Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada kamu, dia akan menuangkan minuman arak untuk pemeliharanya (tuannya); bagi yang lagi satu, dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya. Perkara telah diputuskan yang kamu meminta keputusan kepadaku."

Seorang akan diselamatkan, manakala yang lagi satu akan dihukum bunuh. Itu sebenarnya adalah rancangan Allah supaya pemuda yang diselamatkan itu akan menyelamatkan Nabi Yusuf daripada penjara.

Raja

Mimpi yang ketiga, dan yang terakhir berbunyi,

"Dan raja berkata, 'Aku melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus memakan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku mimpiku, jika kamu adalah penghurai-penghurai mimpi.'"

Begitulah bunyi mimpi seorang raja terhadap negaranya. Ia memberitahu sesuatu yang akan melanda negaranya, dan cara untuk menanganinya. Interpretasinya didapati dalam ayat-ayat berikut:

"Berkata (Yusuf), 'Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan.
Kemudian sesudah itu, datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang memakan apa yang kamu menyediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu simpan. Kemudian sesudah itu, datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan hujan, dan padanya mereka memerah."

Lalu masalah yang melanda negara Mesir ketika itu dapat diatasi setelah raja menceritakan mimpinya dan Nabi Yusuf memberi interpretasi yang tepat.

Mimpi-mimpi yang disebut di dalam al-Qur'an itu tentu mengandungi pelajaran yang baik bagi semua. Pihak-pihak yang percaya kepada mimpi haruslah merenungkannya dengan mendalam.

Nabi Yusuf telah dirahmati Allah dengan kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Ia adalah satu daripada pemberian Allah kepadanya. Mungkinkah pemberian yang sama diberi kepada hamba-Nya yang lain, yang beriman?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan